Selamat Datang Ke Blog Aziah Ahmad Hairi

Wednesday, November 16, 2011

Penguasaan Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina

      Setelah berpengalaman mengajar di sekolah cina selama hampir 12 tahun, saya dapati penguasaan murid-murid dalam Bahasa Melayu adalah sangat baik dan menunjukkan peningkatan. 

      Saya berkata demikian kerana murid-murid ini rajin membuat banyak latihan tatabahasa dan karangan di rumah.  Mereka juga ada mengikuti kelas tambahan persendirian di luar waktu persekolahan iaitu pada waktu petang dan malam.  Ibu bapa mereka tidak kisah meluangkan masa menghantar dan menjemput anak mereka di tempat tuisyen atau rumah guru berkenaan.

      Dalam hal ini, ibu bapa tidak lokek mengeluarkan biaya kelas tambahan asalkan anak mereka mendapat A dalam semua mata pelajaran UPSR, 7A bagi sekolah cina.  Ternyata usaha murid dan sumbangan kewangan ibu bapa dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang kepada anak-anak kesayangan mereka.

      Sebagai guru bahasa di sekolah cina saya telah berusaha memberikan kefahaman kepada mereka tentang perkataan yang tidak difahami atau bersifat kemelayuan.  Hanya masalah tidak faham maksud kata yang menyukarkan mereka menjawab soalan.  Bagi karangan pula, mereka tidak dapat memberikan kata yang tepat, hanya hampir-hampir atau tidak tepat langsung. 

      Keadaan itu berbeza dengan murid Melayu.  Kebanyakan murid Melayu di sekolah cina mendapat gred A atau lulus.  Kalau tidak lulus pun, mereka pastilah  murid istimewa yang lambat menerima pelajaran atau perkataan yang lebih tepat lagi murid pemulihan.

      Jika dilihat dari pelbagai aspek tatabahasa dan ayat, murid cina lebih tepat penggunaan katanya berbanding murid Melayu yang lebih kepada bahasa pasar.  Oleh itu, saya perlu lebih teliti lagi dan gigih berusaha agar murid-murid di sekolah cina menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

         Rumusannya, mengajar Bahasa Melayu di sekolah cina tidaklah semudah yang disangkakan oleh semua orang.  Hakikatnya, guru Melayu di sekolah cina adalah pakar rujuk dalam segala aspek berkaitan bahasa.  Jadi, saya perlu bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang persoalan yang dikemukakan.

2 comments:

AZIAH AHMAD HAIRI said...

10 murid, kefahaman dan karangan 90% untuk BM. Hanya seorang yang gagal. Tahniah kepada yang mendapat gred A terutamanya Shazreen Natasha

haihaihai said...

tahniah la, masih kekal mengajar di sekolah cina. selamat maju jaya....