Selamat Datang Ke Blog Aziah Ahmad Hairi

Wednesday, September 21, 2011

Murid Satu Malaysia


     Mula-mula pindah ke sekolah ini, agak terkejut juga. Muridnya lebih ramai Melayu daripada Cina.  Beberapa hari kemudian rasa seronok pula kerana mudah berkomunikasi dengan murid.  Setiap kelas hanya ada 1 atau 2 murid sahaja bangsa Cina.  Murid India pula ada 3 orang sahaja, itu pun dari satu keluarga atau adik-beradik. Mereka beruntung kerana dapat belajar 4 bahasa.
     Setelah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran  di sekolah ini, saya dapati komunikasi dengan murid dan guru lebih mudah dan berkesan.  Jadi, saya dapat mengajar dengan senang hati tanpa memikirkan isu bahasa yang mudah difahami murid.  
      Di sini, murid Cina dan India menguasai Bahasa Melayu dengan baik kerana setiap hari mereka berkomunikasi dengan murid Melayu menggunakan Bahasa Melayu.  Jika mereka berbahasa Cina, murid Melayu dan    India tidak faham.  Tidak hairanlah prestasi BM meningkat dan BC pula sebaliknya.
           Rumusannya, keputusan Bahasa Melayu di sekolah ini sangat baik berbanding Bahasa Cina. Apa pun yang penting semua guru mesti berusaha meningkatkan pencapaian murid-murid dalam semua subjek.

Tuesday, September 20, 2011

SALAM PERKENALAN


Hai, salam satu Malaysia.
Selamat mengunjungi blok saya.
             Saya ialah seorang guru Bahasa Malaysia di SJKC Kg Baru Kepis, Johol, N. Sembilan.  Saya telah mengajar selama 11 tahun bermula pada tahun 2000.  Ini ialah sekolah yang kedua selepas SJKC Chi Wen, Bahau, N. Sembilan.
             Saya berasa selesa dan gembira mengajar di sekolah ini.  Pada pendapat saya, mengajar di mana-mana pun sama juga, ada kelebihan dan kekurangan.  Apa yang penting ialah kita mesti pandai menyesuaikan diri, tidak sombong dan tidak malu untuk bertanya.
              Kalau dahulu murid saya 40 orang satu kelas, kini hanya 4 orang satu kelas.  Namun cabarannya tetap sama.  Ramai sukar dikawal, sikit pula ada pelbagai kecerdasan. Namun begitu, saya berasa sangat bertuah dapat mengajar di sekolah yang kecil ini.
              Di sinilah saya mula belajar menggunakan komputer dengan lebih meluas lagi.  Maklumlah sebelum ini hanya guna untuk buat soalan dan taip minit sahaja.  Belajar sikit-sikit, lama-lama pandai.  Apa yang penting jangan jemu dan sentiasa berusaha.