Selamat Datang Ke Blog Aziah Ahmad Hairi

Sunday, December 18, 2011

SAJAK JIKA ~ A.SAMAD SAID

Cerita Kanak-Kanak

Cara Belajar yang Betul

1.  Mesti sediakan jadual waktu belajar di rumah dan mematuhinya.

2.  Bertanya kepada guru, rakan, ibu bapa atau sesiapa yang berkenaan jika tidak faham.

3.  Selalu merujuk kamus untuk mengetahui makna perkataan.

4.  Pastikan tidur yang cukup dan tidak belajar sehingga lewat malam.

5.  Makan makanan yang berkhasiat dan seimbang supaya bertenaga.

6.  Bersenam setiap hari, pagi atau petang supaya badan sihat dan otak cerdas.

7.  Mesti mempunyai target dan sentiasa berusaha untuk mencapainya.

8.  Harus bersikap bertanggungjawab terhadap diri sendiri dan orang sekeliling.

9.  Hendaklah mengamalkan sikap hormat kepada orang yang lebih tua.

10.  Sentiasa berusaha untuk memajukan diri dan tidak bersikap cepat putus asa.

Lagu Huruf-Huruf Konsonan dan Bunyi Huruf Vokal 'ing'

Perkataan DIFTONG

Belajar Bahasa Melayu

Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan kita.

Semua murid mesti lulus Bahasa Melayu pada semua peringkat peperiksaan awam di negara kita iaitu :

UPSR - Ujian Pencapaian Sekolah Rendah

PMR - Penilaian Menengah Rendah

SPM - Sijil Pelajaran Malaysia


Perkara yang menjadi asas dalam Bahasa Melayu ialah :

Lisan - komunikasi secara lisan atau secara langsung

Bacaan - kemahiran membaca menggunakan teks atau petikan

Tulisan - kemahiran menulis idea berdasarkan soalan yang diberi.

Perkataan Vokal Berganding BM

Lagu Enjit Enjit Semut

Seronoknya Belajar Tatabahasa Tahap 1 (Preview for CD-ROM content)

Rasa Sayang Sayang Eh

Teka-teki

Pantun

Menulis Ayat yang Bermakna

          Ayat yang bermakna ialah ayat yang mengandungi subjek dan predikat serta dapat difahami oleh orang yang mendengarnya.

          Bagi murid-murid di sekolah cina, ayat yang dihasilkan selalunya tidak tepat penggunaan dan pemilihan katanya dan kosa kata berkaitan dengan situasi.

          Selain itu, susunan katanya juga terbalik atau tidak tersusun kerana hanya menterjemah kata daripada Bahasa Cina ke Bahasa Melayu .

         Namun begitu, ayat murid di sekolah cina selalunya tepat kerana mereka rajin menghafal ayat daripada buku-buku rujukan, teks dan latihan-latihan yang pernah dibuat.

         Oleh itu, latih tubi dan latihan yang banyak sangat membantu murid-murid di sekolah cina  menguasai Bahasa Melayu.

Simpulan Bahasa - Berat Mulut

Peribahasa -

Lagu Peribahasa

Kata Pemeri

Terdiri daripada dua perkataan sahaja iaitu :
 ialah dan adalah

penggunaan kata :
ialah - diikuti oleh kata nama
adalah - diikuti oleh kata hubung dan kata penguat

Contoh ayat :

1.  Beliau ialah guru Bahasa Melayu di sekolah ini.
2.  Kek dan gula-gula ialah makanan ringan yang digemari oleh kanak-kanak.
3.  Kasut sukan itu ialah kasut sukan abang yang baru.

1.  Peserta pertandingan memasak itu adalah yang paling hebat di daerah ini.
2.  Ahli kumpulan mereka adalah sangat hebat dan handal.
3.  Bungkusan itu adalah untuk Nina. 

Kata Sendi Nama

'dari dan pada'
menunjukkan masa dan tempat

 Contoh ayat :

1.  (tempat) Cikgu Aziah berasal dari Sungai Besar, Selangor.

2.  (masa) Beliau mula mengajar di SJKC Kg Baru Kepis pada tahun 2009


kepada dan daripada
menunjukkan orang dan benda

Contoh ayat :

1.  (orang)  Posmen itu memberikan beberapa pucuk surat kepada kerani sekolah saya.

2.  (benda)  Rak televisyen yang cantik itu dibuat daripada kayu getah yang bermutu.

Kata kerja 'memasak'

'Memasak' sebenarnya memberi pengertian yang sangat luas dalam kehidupan seharian kita.

Ada beberapa perkataan lain yang hampir sama maksudnya tetapi berlainan mengikut konteks ayat.

Contoh kata yang hampir sama maksudnya dengan memasak ialah :

menanak     menjerang     mengukus     merebus     menggoreng     menyalai     memanggang     mereneh     membakar     menumis

Contoh ayat :

1.  Emak menanak nasi menggunakan periuk nasi elektrik.

2.  Kakak menjerang air di dapur untuk membancuh air kopi.

3.  Mak Munah sedang mengukus kuih pau untuk minum petang

4.  Bibik menggoreng ikan talapia setelah minyak panas di dalam kuali.

5.  Abang menyalai lima ekor ikan keli di atas bara yang menggunakan sabut kelapa.

6.  Pak Din memanggang seekor ayam di atas bara yang menggunakan arang.

7.  Nenek mereneh sup ayam kampung untuk adik yang demam.

8.  Dia merebus ketupat daun kelapa di dalam sebuah periuk yang besar.

9.  Puan Lina membakar kek coklat di dalam ketuhar yang baru dibelinya.

10. Chef itu menumis bahan-bahan yang disediakan untuk memasak daging masak merah.

Saturday, December 17, 2011

Mari Bermain Bahasa Lagi

Senaraikan perkataan yang mengandungi 1 huruf w.  
Selamat mencuba !!!.......
 Masa diberi 3 minit sahaja tahu.....
 Berapakah perkataan yang berjaya anda fikirkan?



Jawapan :

awas   awak    wap    wayang    wayar     wakaf     waris    waras   warung   wali    wafat     sewa     warkah    waspada    walau     awam     awan      sawan      kawan     lawan      tawan      tawar       bawang     bawa    tawas     watikah     wahai    wah     sawah      wassalam     wukuf      wau     wakil      wajib     


Sunday, December 4, 2011

Sebutan 'r' dan 'z' di sekolah Cina

          Masalah sebutan dua huruf tersebut memang sinonim dengan murid-murid dan guru-guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di negara kita.  Saya dapati mereka tidak dapat menyebut dua huruf tersebut dengan bunyi yang tepat.  Kadang-kala bunyinya agak lucu dan sukar difahami. 

         Sekali dengar kita sukar untuk faham, dua kali dengar baru tahu apakah perkataan itu, tiga kali dengar baru tahu apa maksudnya.  Bagi saya, itulah pengalaman yang tidak diperoleh di mana-mana sekolah kebangsaan. Uniknya bahasa Melayu, boleh dipelajari dengan mudah oleh semua bangsa lain.

Contoh perkataan:

       'r' disebut sebagai 'l'                   'z' disebut sebagai 'j'

          lari - lali                                   aziah - ajiah
          roti -loti                                   zoo -joo
          ramai - lamai                            lazat - lajat
          rantai -lantai                             muzik - mujik
          surat - sulat                             zirafah -jirafah

            Masalah sebutan dua huruf ini dapat diperbetulkan dengan cara membuat latih tubi bacaan.  Saya pernah melaksanakannya di sekolah dan terbukti murid dapat menyebutnya dengan betul setelah diulang beberapa kali dengan bimbingan guru.

                Guru Bahasa Melayu di sekolah harus peka dengan masalah sebutan ini kerana jika tidak dibetulkan, akan menjejaskan markah untuk ujian lisan.

Monday, November 28, 2011

Pertandingan Bercerita Bahasa Melayu


 

     Sepanjang pemerhatian saya selama menjadi pendidik, saya dapati apabila pertandingan bercerita Bahasa Melayu diadakan secara terbuka, pastilah murid Melayu akan menang. Murid Cina pula hanya kalah dari segi sebutan yang pelat kecinaan. Dari segi intonasi, gaya, kelancaran dan intonasi murid Cina memang bagus.

      Sepatutnya, pertandingan bercerita Bahasa Melayu diadakan dalam dua kategori iaitu untuk bangsa Melayu dan bukan Melayu seperti bangsa Cina, India, Asli,  dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak.  Mereka sangat berbakat dan berani mencuba.  Oleh itu, berilah peluang seadil-adilnya kepada mereka untuk memenangi tempat sebagai pemenang.

Karangan Autobiografi

     Karangan ini menceritakan tentang riwayat hidup benda, haiwan dan pokok seperti kereta, kucing dan pokok pisang.

     Cara menulis karangan jenis riwayat ini ialah murid mesti menganggap diri mereka seperti yang dikehendaki oleh tajuk karangan.  Contoh tajuk karangan : 'Saya Seekor Kucing'.  Jadi, murid harus mengetahui semua maklumat tentang kucing sejak mula dilahirkan, membesar dan kemudian mati.

     Dalam hal ini, murid menukar diri mereka menjadi kucing dan berimaginasi bagaimana kehidupan seekor kucing yang biasa ditemui dalam kehidupan seharian mereka.
   
     Saya dapati, murid-murid di sekolah Cina amat menggemari karangan jenis autobiografi ini berbanding jenis karangan yang lain.  Mereka akan menghafal setiap baris ayat yang pernah dipelajari.  Hasilnya, mereka akan memperoleh markah yang tinggi sekiranya menulis karangan jenis ini.

     Apa yang penting ialah murid faham akan tajuk yang diberi, barulah mereka boleh menulis dengan tepat dan tidak terpesong.

     Contoh-contoh tajuk karangan jenis autobiografi :

                                 Aku Sebatang Pokok Kelapa
                                         Aku Sebuah Kamus
                                                   Aku Sebatang Pensel
                                                            Aku Seekor Ayam
                                                  Aku Sebuah Telefon Bimbit
                                                                   Saya Sehelai Baju
                                                       Saya Sepasang Kasut
                                             Saya Seekor Burung
                                   Saya Sepohon Bunga Ros
                            Saya Sebuah Basikal

Wednesday, November 16, 2011

Penguasaan Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina

      Setelah berpengalaman mengajar di sekolah cina selama hampir 12 tahun, saya dapati penguasaan murid-murid dalam Bahasa Melayu adalah sangat baik dan menunjukkan peningkatan. 

      Saya berkata demikian kerana murid-murid ini rajin membuat banyak latihan tatabahasa dan karangan di rumah.  Mereka juga ada mengikuti kelas tambahan persendirian di luar waktu persekolahan iaitu pada waktu petang dan malam.  Ibu bapa mereka tidak kisah meluangkan masa menghantar dan menjemput anak mereka di tempat tuisyen atau rumah guru berkenaan.

      Dalam hal ini, ibu bapa tidak lokek mengeluarkan biaya kelas tambahan asalkan anak mereka mendapat A dalam semua mata pelajaran UPSR, 7A bagi sekolah cina.  Ternyata usaha murid dan sumbangan kewangan ibu bapa dapat menghasilkan keputusan yang cemerlang kepada anak-anak kesayangan mereka.

      Sebagai guru bahasa di sekolah cina saya telah berusaha memberikan kefahaman kepada mereka tentang perkataan yang tidak difahami atau bersifat kemelayuan.  Hanya masalah tidak faham maksud kata yang menyukarkan mereka menjawab soalan.  Bagi karangan pula, mereka tidak dapat memberikan kata yang tepat, hanya hampir-hampir atau tidak tepat langsung. 

      Keadaan itu berbeza dengan murid Melayu.  Kebanyakan murid Melayu di sekolah cina mendapat gred A atau lulus.  Kalau tidak lulus pun, mereka pastilah  murid istimewa yang lambat menerima pelajaran atau perkataan yang lebih tepat lagi murid pemulihan.

      Jika dilihat dari pelbagai aspek tatabahasa dan ayat, murid cina lebih tepat penggunaan katanya berbanding murid Melayu yang lebih kepada bahasa pasar.  Oleh itu, saya perlu lebih teliti lagi dan gigih berusaha agar murid-murid di sekolah cina menguasai Bahasa Melayu dengan baik.

         Rumusannya, mengajar Bahasa Melayu di sekolah cina tidaklah semudah yang disangkakan oleh semua orang.  Hakikatnya, guru Melayu di sekolah cina adalah pakar rujuk dalam segala aspek berkaitan bahasa.  Jadi, saya perlu bersedia mental dan fizikal untuk menghadapi sebarang persoalan yang dikemukakan.

Wednesday, November 9, 2011

Mari Bermain Permainan Bahasa

Senaraikan kata dasar yang ada dua huruf a.
Cth : mata   maaf    ada........

Cuba senaraikan dalam tempoh 5 minit sahaja.  Berapa perkataan yang anda dapat fikirkan? Cubalah sekarang........

Jawapan :

dada     rasa    saya     masa     lada      malam       makan      bapa      pasar       malam       malas  

parang    lawan     saman      nama     pakai      balai       salai       nyata        rata       ramai      mara      

sabar      malah       datang       kerana       selamat      semangat       apa      aras       arah      harap

Tuesday, November 8, 2011

Kem 1 Malaysia di SK Undang Kamat, Johol pada 2dan 3 November 2011

 Bersama Guru Besar di hadapan khemah sebelum majlis penutup.
Dari kiri : Lylatul Qadrina, En Yap Young Siong, Shazreen Natasya, Pn Aziah, Siti Normisha dan Nur zahirah.
Penutup : Hujan lebat, padang dinaiki air...
 Buka khemah dalam hujan.  Apa nak buat terpaksa. Kalau tidak kena datang balik ambil khemah kan leceh. Nasib baik budak2 tidak demam.  Empat-empat okey, tahan lasak.
 Kat depan pentas di dewan, muka penat je masing-masing tapi masih ceria.
 Dalam kete pun sempat bergambar lagi.  Ceria nak balik rumah masing-masing.
 Bergambar lepas aktiviti jungle treking. Dengan Kak Kamisah  SK Nuri.
Sebelum solat Maghrib. Tunggu murid lelaki. Gilir-gilir mandi kat anak sungai.  Perempuan mandi dulu tu lah lelaki lambat.

Jamuan Akhir Tahun KFC Sumbangan PIBG pada 4 November 2011 - Jumaat

Bersama
Loh Jing Wen dan
Eshwary Tahun 1 dan
Tham Kok Loong Tahun 5
 Inilah betul-betul Satu Malaysia.
Fang Kien Yong
Ahmadnur Hakimi
Sattiswarran a/l Murugan
Makan di kantin, senyap je sebab masing-masing dah lapar. Pukul 11 baru makan 2 ketul ayam original bagi setiap murid.

Terima kasih kepada Pengerusi PIBG, En Loh Chee Wai yang sudi menyampaikan bungkusan makanan kepada murid-murid.

Saturday, November 5, 2011

KVK & KVKV

Suku kata satu bunyi dan dua bunyi.

Mari kita bunyikan bersama :

pen      tin       sen      bas      beg      cat      pos     sup

saya    suka    baca   buku      pada      masa    cuti

LAGU ABC - SUKU KATA IB

Suku Kata

Perkara utama yang penting dalam bahasa selepas mengenali huruf ialah suku kata.  Apabila huruf konsonan dicantumkan dengan huruf vokal akan terhasillah bunyi satu suku kata.

Cth : ma, mi, me, mo, mu,                    la, le, li, lo lu

Apabila murid sudah mahir menyebut suku kata tersebut, barulah guru mengajar mereka dua suku kata yang bermakna.

Cth : mama, mula, lima, milo, malu

Apa yang penting : eja, sebut dan ulang sehingga hafal.

Gagak yang Bijak

Selamat Pagi Cikgu - Best

Saturday, October 29, 2011

Mari Bina Perkataan

Marilah cuba bina perkataan menggunakan kata berikut :
P E R P U S T A K A A N
Cuba hasilkan kata dalam tempoh 5 minit.  
Cth :  suka  atas  kata
SELAMAT MENCUBA !

Thursday, October 27, 2011

Mikropengajaran

        Kali kedua buat rakaman. Memang kelakar.  Murid lebih tahu macam mana hendak membuat rakaman.  Alahai malunya! Tidak mengapalah. Saya menganggap malu itu perlu dan tidak perlu malu untuk meningkatkan pengetahuan tentang sesuatu yang baru.  Lebih-lebih lagi apabila saya terpaksa meminjam telefon bimbit adik yang lebih canggih daripada saya.  Maklumlah nak buat rakaman lebih 3 minit kerana saya punya telefon boleh 3 minit je, alahai......
      Rakaman ini spontan sahaja sebenarnya untuk percubaan sahaja.  Maklumlah selama hampir11 tahun mengajar mana pernah buat rakaman.  Murid-murid paling seronok.  Dah macam artis la pulak.  Sekolah kecil, apa yang cikgu buat semua murid akan ambil tahu dan turut menyibuk sekali.  Begitulah......
         Rupa-rupanya jenuh juga nak bercakap dan menyusun kata-kata dalam tempoh melebihi satu minit.  Kalau semasa sesi pengajaran dan pembelajaran yang sebenar pun  banyak bercakap tetapi tentang hal-hal lain.  Sekali kena buat rakaman macam nak semput rasanya bercakap dengan bahasa baku. Ha, baru padan muka saya! 

PERMAINAN BAHASA

Senaraikan perkataan yang berakhir dengan huruf 'g'.  Tidak boleh kata nama khas dan imbuhan. Contoh kata : wang, beg.
Dalam tempoh 10 minit, berapa perkataan yang dapat anda senaraikan.  Selamat mencuba!....... Bandingkan dengan rakan-rakan, siapa yang lebih hebat dan cekap.....
  • Jawapan :  yang wang sayang buang payung sawang sarang barang karang jurang jerang memang tuang beg lapang ruang siang terang terung dinding syiling giling guling goyang gulung terowong teropong tolong tong silang sorong sarung kampung bilang dulang goreng kilang kering pulang butang hilang hutang condong dorong tempang tenggiling garang

Percubaan Pertama

Monday, October 17, 2011

Lawatan ke Zoo Melaka

Pendidikan berterusan apabila dapat melihat sendiri secara langsung haiwan-haiwan yang terdapat di Zoo Melaka.  Anak saya bersama ibu saudaranya dan sepupu-sepupunya berada di atas tren zoo untuk melawat haiwan-haiwan yang terdapat di sana.  Pengalaman tersebut sangat bermakna kepada anak-anak yang sedang meningkat naik ini berdasarkan pembelajaran secara langsung tentang bentuk badan dan habitat haiwan-haiwan tersebut.  Katanya,  'seronok sangat la, lain kali datang sini lagi ye?'.



Kenapa naik tren? La... semua orang pun tahu jawapannya, sebab letih nak jalan.  Kenapa letih? Kawasan zoo kan luas, lenguh kaki nak berjalan.  Naik tren kan senang.Cuma tak puas lah sebab dapat tengok haiwan dari jauh sahaja dan sekejap je dapat tengok haiwan kerana tren itu bergerak. Sudahkah anda membawa anak-anak melawat ke mana-mana zoo di negara ini?  Belum lagi? Luangkan lah masa bersama mereka, laksanakan sesi pendidikan yang berterusan secara langsung di zoo.  Selamat melawat!

Saturday, October 15, 2011

Belajar setiap saat....

            Sebenarnya, setiap saat kita mengalami proses belajar sama ada secara sengaja atau pun tidak sengaja.  Belajar itu luas pengertiannya.  Apa yang semua orang maklum, belajar hanya di sekolah, pusat tuisyen, masjid atau surau serta mana-mana institut pengajian di negara ini.


           Konsep itu menjelaskan belajar secara terancang.  Sebaliknya, apa sahaja yang kita lakukan dalan kehidupan seharian adalah proses belajar.  Jadi, pendidikan itu sememangnya sentiasa berterusan dari saat ke saat sehingga kematian menjemput.....

Tuesday, October 11, 2011

GURU UMPAMA IBU


          Guru ialah orang yang berada paling hampir dengan murid di sekolah setiap hari.  Kebanyakan masa murid dari pagi hingga ke petang adalah di sekolah berbanding hanya waktu malam sahaja di rumah.  Mereka memperuntukkan masa hanya beberapa jam dengan ibu bapa dan keluarga.  Jadi, benarlah anggapan bahawa guru itu umpama ibu dan bapa murid di sekolah.
          Saya tertarik kepada satu pernyataan yang menyatakan 'anak guru tidak pandai kerana guru kurang mengajar di sekolah'.  Ternyata kenyataan itu ada benarnya dan tidak kurang juga yang sebaliknya.  Lihatlah, kebanyakan anak guru memang ternyata bijak dan bagus dalam pelajaran dan sukan. Perkara ini terbukti di dada-dada akhbar dan media elektronik yang lain.
          Adatlah kalau ada beberapa anak guru yang tidak berjaya.  Perkara itu sudah menjadi lumrah kehidupan.  Setiap perkara di dunia ini ada baik dan buruknya.  Allah ciptakan segalanya seimbang dan saling memerlukan.  Janganlah kita asyik menyalahkan orang sahaja. Tindakan yang berhemah itu menunjukkan kita seorang yang berpelajaran.

Wednesday, October 5, 2011

Panitia BM



1. Mesyuarat Panitia BM mesti dijalankan sebanyak 4 kali setahun.
2. Merancang aktiviti tahunan bersama guru BM yang lain.
3. Melaporkan aktiviti yang telah dijalankan.
4. Membuat post moterm selepas aktiviti dijalankan.
5. Menyediakan hadiah yang bersuaian dengan tahap umur murid.
6. Memantau aktiviti yang dijalankan agar mencapai objektif.
7. Menyediakan soalan peperiksaan yang berkualiti berdasarkan sukatan 4 kali setahun.
8. Membuat semakan setiap hasil murid dan beri gred atau komen.
9. Pastikan murid membuat pembetulan selepas melakukan kesilapan dalam latihan.
10.Penyeliaan buku latihan  dan pencerapan P&P guru 3 kali setahun oleh Guru Besar / Guru Penolong Kanan.



Wednesday, September 21, 2011

Murid Satu Malaysia


     Mula-mula pindah ke sekolah ini, agak terkejut juga. Muridnya lebih ramai Melayu daripada Cina.  Beberapa hari kemudian rasa seronok pula kerana mudah berkomunikasi dengan murid.  Setiap kelas hanya ada 1 atau 2 murid sahaja bangsa Cina.  Murid India pula ada 3 orang sahaja, itu pun dari satu keluarga atau adik-beradik. Mereka beruntung kerana dapat belajar 4 bahasa.
     Setelah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran  di sekolah ini, saya dapati komunikasi dengan murid dan guru lebih mudah dan berkesan.  Jadi, saya dapat mengajar dengan senang hati tanpa memikirkan isu bahasa yang mudah difahami murid.  
      Di sini, murid Cina dan India menguasai Bahasa Melayu dengan baik kerana setiap hari mereka berkomunikasi dengan murid Melayu menggunakan Bahasa Melayu.  Jika mereka berbahasa Cina, murid Melayu dan    India tidak faham.  Tidak hairanlah prestasi BM meningkat dan BC pula sebaliknya.
           Rumusannya, keputusan Bahasa Melayu di sekolah ini sangat baik berbanding Bahasa Cina. Apa pun yang penting semua guru mesti berusaha meningkatkan pencapaian murid-murid dalam semua subjek.

Tuesday, September 20, 2011

SALAM PERKENALAN


Hai, salam satu Malaysia.
Selamat mengunjungi blok saya.
             Saya ialah seorang guru Bahasa Malaysia di SJKC Kg Baru Kepis, Johol, N. Sembilan.  Saya telah mengajar selama 11 tahun bermula pada tahun 2000.  Ini ialah sekolah yang kedua selepas SJKC Chi Wen, Bahau, N. Sembilan.
             Saya berasa selesa dan gembira mengajar di sekolah ini.  Pada pendapat saya, mengajar di mana-mana pun sama juga, ada kelebihan dan kekurangan.  Apa yang penting ialah kita mesti pandai menyesuaikan diri, tidak sombong dan tidak malu untuk bertanya.
              Kalau dahulu murid saya 40 orang satu kelas, kini hanya 4 orang satu kelas.  Namun cabarannya tetap sama.  Ramai sukar dikawal, sikit pula ada pelbagai kecerdasan. Namun begitu, saya berasa sangat bertuah dapat mengajar di sekolah yang kecil ini.
              Di sinilah saya mula belajar menggunakan komputer dengan lebih meluas lagi.  Maklumlah sebelum ini hanya guna untuk buat soalan dan taip minit sahaja.  Belajar sikit-sikit, lama-lama pandai.  Apa yang penting jangan jemu dan sentiasa berusaha.